LATAR BELAKANG

Sekolah Menengah Teknik Labuan (SMTL), pada asalnya dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional Labuan (SMVL). Sekolah ini dirasmikan oleh Y.B Datuk Dr.Sulaiman Bin Hj.Daud, Menteri Pelajaran Malaysia pada 03 Mac, 1983 - sekolah vokasional kelima di Sabah selepas SMV Likas, Sandakan, Tawau dan Keningau. SMVL terletak di km 7 Jalan Tanjung Kubong , kira-kira 15 minit perjalanan dari pusat bandar Labuan.

LENCANA DAN MOTTO

LENCANA SMVL

Lencana SMVL memaparkan motto "DISIPLIN, KEMAHIRAN DAN KEMAJUAN" sebagai sumber inspirasi kepada seluruh warganya untuk menuntut ilmu dan kemahiran bagi kemajuan diri, bangsa dan negara.

PENTADBIRAN

Pengetua pertama SMVL ialah Encik James Liew Yuk Hin. Beliau dibantu oleh 15 orang tenaga pengajar daripada pelbagai kursus yang turut diperkenalkan.

KEMUDAHAN

Pada masa penubuhannya, kemudahan-kemudahan yang terdapat di sekolah ini adalah seperti berikut :

3 bangunan untuk bengkel Automotif, Binaan Bangunan, Amalan Bengkel Mesin, Elektronik, Elektrik & Kimpalan Fabrikasi Logam

1 bangunan Dewan Besar

1 bangunan Dewan Makan

Bangunan Asrama

1 bangunan Pentadbiran & Bilik Darjah

2 blok flat guru

1 rumah Pengetua

1 rumah pekerja

2 gelanggang bola keranjang

1 padang sekolah

KURIKULUM

Tahun pertama SMVL dibuka, terdapat tujuh kursus dianjurkan iaitu kursus radio & TV, Pepasangan Elektrik, Kimpalan Logam, Binaan Bangunan, Kajisawat Jentera berat, Kajisawat Motor, Menggegas & Melarik, Pelajaran Akademik ( Bahasa Malaysia, English, Matematik, Pengajian Kemasyarakatan dan Agama Islam). Pada tahun 1984, kursus Perdagangan diperkenalkan.Seramai 135 orang pelajar melaporkan diri pada hari pendaftaran sulungnya. Pelajar-pelajar ini menduduki peperiksaan Sijil Sekolah Vokasional Sabah.

KO KURIKULUM

Pelajar-pelajar SMVL juga terlibat dalam kegiatan ko kurikulum seperti persatuan dan sukan. Persatuan yang terdapat pada awal penubuhannya ialah seperti Persatuan Agama Islam, Persatuan Bahasa Malaysia, Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Matematik dan Persatuan Komputer. Sukan tahunan sekolah diadakan setiap tahun dengan penglibatan semua pelajar.

ERA PERUBAHAN

Selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk menaikkan taraf sekolah vokasional kepada sekolah teknik, Sekolah Menengah Vokasional Labuan memasuki era perubahan kepada Sekolah Menengah Teknik Labuan secara rasminya pada bulan 12 Julai 1998. Penukaran rasmi nama sekolah ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Dr.Hj.Hasbullah Bin Hj.Mohd.Taha, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.